Yang Terbaik
Ada seorang jejaka. Hitam manis, lembut tuturnya. Banyak lawaknya. Kadang-kadang hambar, kadang-kadang lawaknya mampu membuat orang tak kering gusi.
Dia jatuh hati pada seorang gadis. Gadis yang kurang bicaranya, hanya tersenyum manis bila ada yang berjenaka padanya. Keayuan gadis itu telah mencuri hati si jejaka.
Nekad dan tekad si jejaka meluahkan rasa hati pada gadis itu. Hajatnya hanya untuk meluahkan beberapa baris ayat pada gadis tersebut. Maka hati telah dibulatkan untuk berdepan. Jantung berdegup kencang.
Tekad si jejaka, tak ingin bercinta. Hanya ingin menunggu dan melamar setelah tamat belajar. Noktah. Pasti.
“Awak, saya terpikat pada awak. InsyaAllah habis belajar, saya akan meminang awak”.
Gadis itu mengangguk. Mungkin juga sudah menyimpan rasa pada si jejaka kerana tiada riak tersentak di wajahnya. Senyum. Tunduk.
Rakan di sebelah gadis itu hanya mengekek ketawa. Bahan jenaka agaknya kerana jejaka itu terkenal dengan lawaknya. Rasa nak sekeh kepala ketiga-tiga rakan gadis itu, biar berhenti ketawa. Mengerti jiwa gemuruh si jejaka meluah rasa pada gadis idamannya.
“Tapi kalau awak jumpa yang lebih baik daripada saya, maka saya redha awak memilih dia daripada saya”.
Senyap. Rakan yang tadi galak ketawa berhenti melihat tahap keseriusan jejaka itu dengan suara yang sengaja direndahkan.
Si jejaka berlalu pergi. Nafas ditarik dalam. Dihela perlahan. Senyum diukir. Kenapalah dia tidak senyum semanis kurma tadi. Bukankah sudah menyesal.
Enam tahun. Sudah enam tahun berlalu. Hanya sipi-sipi berita sahaja yang diketahui oleh jejeka itu. Gadis itu masih hidup, gadis itu menyambung belajar sudah cukup membuat hati jejaka itu lega. Tiada sebarang komunikasi antara mereka, bersua ataupun alam maya.
Enam tahun. Jejaka itu masih setia. Harapnya gadis itu juga begitu. Setahun saja lagi, pengajian kedua-dua mereka tamat. Maka janji akan ditunaikan.
Janji yang dilafazkan oleh si jejaka bila mana gadis itu tidak mengharapkan apa-apa pada usia yang sebegitu muda.
Hari ini, tempoh enam tahun itu belum tamat. Jejaka itu menerima berita dengan hati yang terbuka.
Redha. Ayat yang disemat kemas di dalam dada.
Gadis itu telah bertemu dengan yang lebih baik. Jauh lebih baik. Terbaik.
Bertemu dengan Penciptanya. Maka si jejaka dengan redha melepaskan. Melepaskan dia pergi selamanya. Berharap si gadis bahagia bertemu Yang Terbaik.
Al-Fatihah
– Maliq Azhar
sumber : http://www.iiumc.com/yang-terbaik-2/